Abdul Rahman Mohamad (berbaju biru) meninjau kerja pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama di Lipis, Pahang.

LIPIS – Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang dahulunya dikenali sebagai Central Spine Road (CSR) mampu mengurangkan tempoh perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan kepada 3 jam apabila ia siap pada 2024.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, projek yang memakan kos sebanyak RM257 juta yang mula dibina pada 29 Jun 2020 kini 14.1 peratus siap.

“Tinjauan ke tapak projek bertujuan mengenalpasti isu dan cabaran yang dihadapi kontraktor bagi memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut jadual yang telah dirancang.

“LTU merupakan salah satu dari projek berimpak besar di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) yang melibatkan 6 pakej dari negeri Kelantan ke Pahang.

“Salah satu pakej yang terlibat ialah Pakej 3 membabitkan jalan Gua Musang (Kelantan) ke Kampung Relong (Pahang),” katanya selepas meninjau kemajuan pembinaan projek LTU, di sini, hari ini.

Abdul Rahman yang merupakan Ahli Parlimen Lipis turut meninjau Projek Menaiktaraf Jalan Benta-Jerantut-Maran.

Menurutnya, laluan tersebut merupakan jalan utama menghubungkan Benta dengan Maran yang sering digunakan penduduk Lipis.

“Kerajaan, melalui KKR dalam proses untuk menaik taraf laluan ini bagi meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan bagi pengguna jalan raya. Projek menaiktaraf ini dibahagikan kepada tiga fasa,” ujarnya.

Difahamkan proses menaiktaraf fasa kedua sepanjang 21 kilometer menghubungkan Jerantut dengan Simpang Jengka telah siap dibina manakala fasa pertama dan ketiga sedang dilaksanakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kalau nak ikutkan keutamaan, bnyk jln2 di KELANTAN yg perlu dinaiktarafkan. Seperti Jln Tunjong ke Machang ke Tanah Merah. Jalan Pasir Mas ke Rantau Panjang. Jln Pasir Mas ke Tanah Merah dan Pasir Mas ke Pasir Pekan. Jalan lain ialah Jalan Kubang Kerian ke Bachok.

Comments are closed.