PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedia membantu golongan seni untuk mendapatkan hak mereka termasuk bayaran royalti yang gagal diperolehi sebelum ini.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, melalui pendaftaran harta intelek iaitu karya sastera dan seni, hak golongan seni akan terbela dan hasil ciptaan mereka akan mendapat bayaran sewajarnya.
“Kementerian sentiasa mencari jalan supaya hasil-hasil karya mereka ini dapat kita uruskan dengan baik dan bagaimana cara untuk kita membayar atau mengira kembali (royalti).
“Insya-Allah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dengan kepakarannya akan dapat membantu mereka (golongan seni),” katanya pada sidang media di KPDN, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Pelancaran Dana IP, Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0.
Salahuddin juga menggalakkan golongan seni tempatan segera mendaftarkan semua karya mereka dengan MyIPO jika mahu hasil ciptaan seni mereka terpelihara.
“Saya harap dengan dana RM2 juta ini akan lebih menggalakkan supaya hasil-hasil karya tempatan ini dapat difailkan.
“Ini akan memberikan suatu peluang bagi mereka mengkomersialkan karya mereka ini.
“Ia penting supaya harta intelek tempatan bukan sekadar dapat dilindungi oleh undang-undang bahkan hak mereka itu akan dapat diberi jaminan kepada generasi akan datang,” katanya.
Menurutnya, dana RM2 juta yang diperutukkan kepada MylPO untuk tempoh 2023-2024 itu bagi membantu sesiapa sahaja untuk mendaftarkan hak cipta secara percuma.
“Saya mengambil iktibar daripada teman-teman dan rakan-rakan artis, golongan seniman khususnya di peringkat awal kemerdekaan yang pada hari ini menghadapi masalah untuk mereka mendapatkan bayaran khususnya royalti mereka.
“Ramai dalam kalangan mereka hidup susah, mereka ini nama-nama besar di mana pada waktu itu kesedaran untuk mendaftar hasil karya mereka itu masih lagi rendah.
“Sekarang ramai yang datang termasuk ada golongan seni budaya dan artis yang berjumpa dengan saya, semalam.
“Kita mengambil perhatian yang berat untuk sama-sama kita memperjuangkan hak mereka,” katanya.
Katanya lagi, kementeriannya sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak bukan sahaja golongan seni, bahkan usahawan yang mahu mempatenkan hak cipta mereka.
“Kami sentiasa membuka pintu untuk membantu dan memudahcara dan seterusnya ada dana yang membantu mereka memfailkan (karya seni) secara percuma,” katanya lagi. – MalaysiaGazette