Sulaiman (kanan) memperkatakan sesuatu kepada Mohammad Yusof ketika melihat reruai pameran selepas merasmikan Majlis Pelancaran Duta TVET Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Dewan Canselor Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal di sini hari ini.

MELAKA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menyalurkan bantuan segera kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang menjadi mangsa banjir yang semakin buruk di Johor, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak, ketika ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, ketika ini pihaknya sedang mengumpulkan data bagi mengenal pasti bentuk bantuan dan pelajar yang terjejas akibat banjir di empat negeri itu.

“Kebiasaannya KPT akan menyalurkan bantuan dan menggerakkan sukarelawan bagi membantu pelajar-pelajar IPT yang terkesan akibat bencana seperti banjir ini.

“Kita akan melihat apakah masalah yang dihadapi pelajar dan jika berkaitan penempatan mereka tidak selesa, kita akan tempatkan mereka ke lokasi lain yang lebih sesuai,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Duta TVET Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal di sini hari ini.

Perasmian disempurnakan yang  Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Mohammad Yusof Apdal

Sementara itu Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr. Massila Kamalrudin berkata, kira-kira 500 sukarelawan Tuah VT sudah bersiap sedia untuk digerakkan bagi membantu mangsa banjir di negeri-negeri terlibat.

“Pasukan Tuah VT terdiri daripada 300 pelajar dan 200 kakitangan ini sememangnya mahir dalam pengurusan pasca banjir dan bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa jika mendapat arahan daripada KPT,” katanya.

Tambahnya, sebelum ini pasukan sukarelawan UTeM itu juga terlibat dalam misi membantu mangsa banjir teruk di Kelantan, November tahun lalu.

Berdasarkan Laporan Bencana Nasional, Pusat Kawalan Operasi Pusat, Ibu Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) hari ini, jumlah keseluruhan mangsa meningkat kepada 12,231 mangsa dengan lapan kematian setakat ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan pagi tadi pula memaklumkan keadaan hujan dijangka terus berlaku di beberapa tempat di Kudat, Tawau, Sandakan, Pantai Barat dan pedalaman Sabah, selain di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor. – MalaysiaGazette.