GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendesak larangan penuh ke atas penjualan rokok elektronik atau vape kepada generasi penamat (GEG) melalui peruntukan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.
Ia susulan Ketua Pegawai Operasi Galen Center, Azrul Mohd Khalib mencadangkan kerajaan memansuhkan cadangan larangan tembakau untuk GEG bagi memastikan RUU itu diluluskan di Parlimen.
Pegawai Pendidikan dan aktivis anti rokok, NV Subbarow berkata, cadangan itu tidak munasabah kerana ia membabitkan isu penjualan dan pemasaran vape, menyerupai permainan kanak-kanak.
Kata beliau, pemasaran yang dibuat adalah jelas mensasarkan kanak-kanak dan golongan remaja malah mereka yang tidak merokok juga akan terpedaya bagi menggunakannya.
“Tanpa peruntukan melarang penjualan sebarang bentuk produk merokok termasuk rokok elektronik atau vape perkara itu, tidak dapat dibendung sepenuhnya.
“CAP turut menegaskan bahawa Kerajaan sepatutnya membuat larangan penuh berkaitan penjualan rokok elektronik atau vape sejak kemasukan produk ini di pasaran Malaysia pada tahun 2016 lagi.
”Kami sudah mendesak penjualan rokok elektronik diharamkan terus seperti negara jiran di Singapura, Brunei, Thailand dan Cambodia supaya ia tidak terus merosakkan anak bangsa kita,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Merujuk kepada Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU Kawalan Produk Tembakau 2022 yang disiarkan pada 5 Oktober tahun lalu, pelaksanaan peruntukan GEG sudah dipersetujui setiap ahli yang mewakili parti politik masing-masing.
Subbarow berkata, penyata itu jelas mengakui bahawa peruntukan GEG adalah sangat kritikal memandangkan Malaysia mengalami masalah beban merokok berganda seperti tembakau, tembakau dan rokok elektronik atau vape.
Kata beliau, ia sudah dibincangkan dengan panjang lebar dan CAP menegaskan bahawa peruntukan GEG ini mesti diteruskan.
“Penyata ini juga sudah memasukkan peruntukan Laporan Berkala yang dicadangkan bagi dibentangkan pada kedua-dua sidang Parlimen untuk melihat keberkesanan pelaksanaan GEG.
“Justeru, CAP tidak melihat asas mengapa peruntukan GEG mesti digugurkan, melainkan ada campur tangan industri dalam hal ini.
“Sekali lagi CAP menggesa supaya kerajaan bertindak segera dan meluluskan RUU ini dengan peruntukan GEG,” kata Subbarow. – MalaysiaGazette