Mohammad Roshaidi Mohd Ghazali menjadi buruan polis selepas dikesan melarikan diri dari Pusat Koreksional Jasin, Jabatan Penjara Malaysia, Lipat Kajang, Melaka sejak Selasa lalu.

JASIN – Polis melipat gandakan usaha memburu seorang banduan lelaki dikesan melarikan diri dari Pusat Koreksional Jasin, di sini, pada petang Selasa lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman berkata, operasi mengesan suspek Mohammad Roshaidi Mohd Ghazali, 44, juga telah diperluaskan ke semua Ibu Pejabat Polis (IPD) di seluruh negara malam tadi.

“Kita telah memeriksa di semua tempat yang berkemungkinan suspek melarikan diri atau bersembunyi namun gagal menemuinya, sebab itu malam tadi kita minta bantuan IPD lain seluruh Malaysia untuk membantu.

“Setakat ini, semua kawasan termasuk ladang kelapa sawit di belakang pusat tahanan itu juga sudah diserbu, selain lokasi lain dan rumah kenalan suspek,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Selasa lalu, tular di media sosial seorang banduan lelaki melarikan diri dari pusat tahanan Jabatan Penjara Malaysia di Lipat Kajang, Jasin sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk.

Kehilangan suspek yang ditahan berkaitan kes samun disedari pegawai bertugas di penjara berkenaan kira-kira pukul 2.20 petang ketika suspek sedang menjalani Program Reintegrasi Penghuni di pusat tahanan itu.

Pakaian terakhir yang digunakan lelaki itu ialah baju banduan berwarna hijau serta memakai selipar.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh membantu polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan suspek di balai polis berhampiran – MalaysiaGazette