Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa Datuk Nur Jazlan Mohamed pura-pura tidak faham konteks sedekah berbanding rasuah kepada pengundi seperti yang dimaksudkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Katanya, sedekah yang dimaksudkan iaitu pemberian wang daripada selain calon atau wakil calon dan tiada kaitan dengan calon.

Bagaimanapun, apa yang perlu dikalutkan kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuka kertas siasatan.

“Saya baca kenyataan Timbalan Pengerusi UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed berhubung isu ‘sedekah’ dan ‘rasuah’.

“Seorang lagi pemimpin Umno yang pura-pura tidak faham konteks sedekah yang dimaksudkan iaitu pemberian wang daripada selain calon atau wakil calon dan tiada kaitan dengan calon,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Fadhli yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, Nur Jazlan tidak wajar mengecam Presiden Pas yang tidak dipalit dakwaan kes rasuah di mahkamah seperti dialami Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Apa yang pasti, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno sedang dan akan habiskan banyak masa ke mahkamah.

“Jazlan berkata Presiden Pas ada masalah psikologi dan kemurungan. Hakikatnya, yang kelihatan psikologinya bermasalah ialah Jazlan sendiri.

“Masakan tidak, ketika Menteri Besar Johor sendiri meminta Presiden UMNO undur dan Pengerusi UMNO Johor sendiri setuju jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan, dia terpaksa menongkah arus Johor berdiri menjadi penyokong tegar Presiden,” ujarnya.

Secara sinis, Ahmad Fadhli berkata, berikutan kekalutan Nur Jazlan itu, Pas berharap beliau dilantik menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Johor nanti.

“Saya cadangkn ahli-ahli UMNO berpakat kumpulkan dana, bagi sumbangan (atau sedekah) kepada beliau untuk membuat pemeriksaan mental.

“Bimbang terus-menerus seperti ini, rakan-rakan sendiri akan terus pulaukan.

“Tetapi, saya juga berharap dia dilantik mengetuai UMNO Johor, supaya mudah kami tawan Johor di masa hadapan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.