Datuk Seri Shahidan Kassim. Foto HAZROL ZAINAL, 18 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) yakin akan kekal menguasai tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, PN mempunyai strategi tertentu untuk menawan Negeri Sembilan dan Selangor, selain yakin dapat ‘menggoncangkan’ Pulau Pinang.

“Insya-Allah PN/Pas akan menguasai Kedah, Terengganu dan Kelantan… kita akan bergerak dengan aman dan damai ke Negeri Sembilan dan Selangor, (kita) ada strategi.

“Dan kita akan goncangkan Pulau Pinang…ini kita berjihad kerana Allah untuk pastikan usaha-usaha murni ini kita ditonjolkan,” katanya menerusi hantaran dan video yang dimuatnaik di Facebook beliau.

Katanya lagi, beliau tidak kisah apa yang hendak diperkatakan oleh pihak-pihak tertentu kerana percaya gelombang perubahan yang dibawa oleh pengundi akan memastikan kemenangan Pas dan PN di negeri-negeri berkenaan.

“Kita akan mempertahankan apa yang kita menangi dan mencipta kejutan di beberapa tempat.

“Persediaan sedang dilakukan dengan hebat dan dahsyatnya,” tambahnya. – MalaysiaGazette