Mohd Iqbal Ibrahim

KUALA LUMPUR- Polis sedang dalam proses akhir untuk melengkapkan kertas siasatan  insiden pergaduhan dua isteri bekas ketua jurulatih bola sepak kebangsaan di sebuah restoran pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya sedang mengambil keterangan daripada beberapa lagi saksi kejadian itu sebelum kertas siasatan itu dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Saksi yang tampil membantu siasatan polis adalah mereka yang berada di tempat semasa berlaku pergaduhan antara dua wanita itu.

“Kedua-dua pihak datang bersama anak dan ahli keluarga mereka. Jadi ada beberapa saksi yang kita panggil untuk membantu polis lengkapkan siasatan kes ini sepenuhnya,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua isteri bekas pemain bola sepak bergaduh di restoran

Tambah beliau, kertas siasatan yang dilengkapkan nanti akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan lanjut.

Isnin lalu, Mohd Iqbal mengesahkan polis menerima laporan polis mengenai pergaduhan kedua-dua wanita itu selepas isteri kedua bekas ketua jurulatih itu mengadu dia telah disindir oleh isteri pertama dalam satu program realiti televisyen.

Susulan itu, kedua-dua isteri jurulatih berkenaan dilaporkan bergaduh selepas  mereka  bertikam lidah sebelum menarik rambut masing-masing.

Bagaimanapun, orang awam yang berada di lokasi insiden telah meleraikan pergaduhan kedua-dua wanita itu sebelum mereka membuat laporan polis.

Suami kedua-dua wanita itu yang kini mengendalikan sebuah kelab bola sepak negeri di utara semenanjung turut dipanggil polis dan selesai dirakam keterangannya.

Polis meneruskan siastan ke atas mereka di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil. – MalaysiaGazette