Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyerahkan kepada polis berhubung dua pembantu Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dipanggil untuk membantu siasatan.

Beliau memberi respon ringkas itu apabila ditanya mengenai rungutan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mempersoalkan tindakan polis memanggil dua pegawai mereka, semalam.

“Saya tak campur tangan. Saya serahkan kepada polis. Polis tahu apa mereka nak buat,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu dan Perhimpunan Bulanan di Auditorium KDN, di sini, hari ini.

Santiago mempersoalkan tindakan polis menyiasat dua pembantu Ahli Parlimen PH yang dianggap sebagai “tidak logik”.

Katanya, siasatan itu hanya menimbulkan ketakutan dalam kalangan wakil rakyat dan pembantu mereka untuk bersuara.

Dua pegawai yang dipanggil polis ialah Nur Suhana Ishak pembantu kepada Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman dan Setiausaha Akhbar Rafizi Ramli, Farhan Iqbal.

Suhana dipanggil ke Balai Polis Sentul, manakala Farhan dipanggil ke Balai Polis Putrajaya untuk disiasat kerana fitnah dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

Mereka disiasat berhubung satu kenyataan di Twitter yang mendakwa kekecohan yang berlaku dalam satu ceramah Syed Saddiq di Muar tahun lalu yang dikatakan didalangi Pemuda UMNO. – MalaysiaGazette