Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengurus Perhubungan Ambank Berhad, Joanna Yu Gan Ping berkata berkata beliau gagal kerana tidak mengendalikan akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak dengan betul.

Joanna mengakui beliau tidak mendapat kelulusan daripada bekas Perdana menteri itu bagi membenarkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, mengendalikan akaun bank Najib.

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengapakah Ambank atau Joanna yang ditugaskan menguruskan akaun peribadi Najib untuk mendapatkan surat lisan bertulis seperti yang diberikan kepada Nik Faisal Ariff Kamil sebagai pemegang mandat akaun bekas Perdana menteri itu.

Joanna mengakui beliau tidak pernah mendapatkan surat lisan bagi membolehkan Jho Low mengendalikan akaun Najib.

“Ada banyak bukti yang menunjukkan kamu (Joanna) berhubung dengan Jho Low berhubung akaun Ambank Najib. Apakah jenis kuasa yang kamu ada untuk berhubung terus dengan Jho Low dalam kendalikan akuan Perdana Menteri?

“Adakah kamu ada surat bertulis daripada Najib seperti yang diberikan olehnya sebagai pemegang mandat kepada Nik Faisal?,” soal Shafee di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Pada prosiding SRC International melibatkan penyelewengan dana RM42 juta sebelum ini, mahkamah diberitahu Najib melantik bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil sebagai pemegang mandat bagi lima akaun AmIslamic Bank miliknya.

Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi berkata, Najib melantik Nik Faisal sebagai pemegang mandat bagi akaun simpanan AmIslamic berakhir nombor 694 dan empat akaun semasa iaitu AmIslamic (481), AmPrivate Banking-1MY (880), AmPrivate Banking-Y1MY (898) serta AmPrivate Banking-MY (906).

Uma Devi berkata, pelantikan Nik Faisal sebagai pemegang mandat bagi akaun AmIslamic (694 dan 481) dibuat menerusi surat kepada Pengurus Cawangan AmIslamic Bank Berhad Jalan Raja Chulan bertarikh 10 Mac 2011 manakala tiga lagi akaun melalui surat bertarikh 26 Ogos 2013.

Bagaimanapun Joanna berkata, beliau telah berhubung dengan Jho Low atas ahli perniagaan itu yang mencetuskan idea pembukaan akaun peribadi Najib.

“Tetapi saya memang tidak ada apa-apa surat bertulis atau surat kuasa berkaitan perkara ini daripada Datuk Seri Najib. Ya, saya gagal dalam perkara ini,” katanya dengan suara perlahan sambil menundukkan kepala.

Joanna menganggukan kepada apabila Muhammad Shafee berkata, bank begitu prihatin dan tidak akan ambil mudah dengan isu-isu pengendalian akaun seseorang oleh pihak ketiga.

Dalam pada itu, Joanna yang merupakan saksi ke-41 kes penyewelengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Najib mengakui beliau dipecat dari Ambank tanpa diberikan surat tunjuk sebab kerana isu berkaitan pengendalian akuan bank Najib.

Berikutan itu Muhammad Shafee meminta Joanna menunjukkan surat pemecatan itu kepada mahkamah pada Isnin ini. _ MalaysiaGazette