Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan Pahang menasihatkan para pekebun durian Musang King di Raub yang terlibat dengan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi supaya menimbang semula sama hasrat mereka.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau yang mewakili Kerajaan Perpaduan berpandangan tanah-tanah yang dipertikaikan jelas milik kerajaan negeri menurut Sistem Torrens (kaedah diguna pakai di dalam sistem pentadbiran tanah Malaysia).

“Ia merupakan hak milik yang tidak boleh disangkal (indefeasibility of title) walaupun dalam konteks ekuiti. Oleh yang demikian, saya berharap supaya pekebun-pekebun yang terlibat dapat bertindak secara matang untuk kebaikan bersama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu seramai 110 pekebun di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau dan Tranum di Raub memfailkan dua notis permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi pada 21 Ogos 2020 dan seterusnya kumpulan kedua membabitkan 94 pekebun pada 9 Disember 2020 melibatkan tanah seluas kira-kira 2,167 hektar.

Kesemua plantiff itu memfailkan permohonan dengan menamakan enam responden iaitu Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan Pahang, PKPP dan Royal Durian Resources PKPP Sdn Bhd. – MalaysiaGazette