Tertuduh, Siti Aqilah Shahimi, 25, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas bayi perempuan berusia lapan bulan, September tahun lalu.

MELAKA – Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas bayi perempuan berusia lapan bulan, September tahun lalu.

Tertuduh, Siti Aqilah Shahimi, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Falisha Hanania Muhammad Farhan berusia lapan bulan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Limbongan Permai, dalam daerah Melaka Tengah pada pukul 6.20 petang 7 September tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohammad Naim Abd. Jalil manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Izzuddin Ab Malek.

Mohammad Naim memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM8,000 ke atas tertuduh namun peguam memohon jumlah yang rendah dengan alasan tertuduh hanya berpendapatan RM1,800 sebulan bekerja sebagai pengasuh selain perlu menanggung keluarga.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 14 Mac untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam – MalaysiaGazette.