Presiden Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia, Khairul Anuar Othman (dua kanan) hadir menyerahkan memorandum pengeluaran KWSP secara one-off kepada wakil Ketua Pegawai Eksekutif KWSP di Menara KWSP Kwasa Damansara, Shah Alam. Foto FAREEZ FADZIL, 27 JANUARI 2023.

SHAH ALAM – Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (Prorakyat) mengemukakan Resolusi Rayuan Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya membenarkan pengeluaran sebanyak RM10,000 hingga RM30,000 secara one off pada kadar segera.

Presiden Prorakyat, Khairul Anuar Othman berkata, resolusi dan rayuan tersebut susulan keluhan, pandangan dan pendapat  yang diterima daripada para pencarum KWSP yang mahu tuntutan berkenaan.

Katanya, antara tuntutannya, pencarum mendakwa mereka kehilangan dan mengalami pengurangan pendapatan sejak Covid- 19 melanda Malaysia pada tahun 2020.

“Pencarum belum dan masih dalam proses mendapatkan pekerjaan stabil dan ada dalam kalangan mereka yang sudah berada dalam peringkat umur 40 dan 50-an yang melepasi permintaan dalam industri dan lapangan masing-masing.

“Ada juga pencarum yang sudah mendapat pekerjaan tetapi kadar gaji yang ditawarkan dan diterima tidak seperti gaji sebelum pandemik sedangkan komitmen mereka terlalu tinggi dengan harga barangan dan kelangsungan hidup yang terkesan,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, Khairul Anuar menyerahkan resolusi tersebut kepada Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan diterima oleh Pegawai Khas Pejabat Ketua Eksekutif KWSP, Zahari Ahmad di Menara KWSP hari ini.

Jelasnya, resolusi ini juga adalah untuk memperbaiki dan memulihkan perniagaan kecil yang baru bermula dan terjejas selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2021 hingga 2022.

Presiden Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia, Khairul Anuar Othman (tengah) bercakap kepada media selepas menyerahkan memorandum pengeluaran KWSP secara one-off kepada wakil Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, di Menara KWSP Kwasa Damansara, Shah Alam. Foto FAREEZ FADZIL, 27 JANUARI 2023.

Khairul Anuar berkata, tuntutan pengeluaran KWSP itu turut diperlukan bagi melunaskan tunggakan hutang seperti pinjaman perumahan, kenderaan, peribadi, perniagaan, sewa rumah, bil-bil utiliti serta lain-lain yang gagal dibayar.

“Pencarum juga hendak menjelaskan baki-baki hutang selepas moratorium dan sebagai modal bagi menyusun semula perancangan dan strategi kewangan baru bermula tahun 2023,” katanya.

Tambah Khairul Anuar, resolusi berkenaan sebagai satu penjelasan yang sebenar-benarnya bahawa rayuan itu datang dari suara para pencarum  bukan didalangi mana-mana pertubuhan, orang-orang berkepentingan atau ahli-ahli politik.

“Tidak terdapat hasutan-hasutan atau demi kepentingan politik seperti yang didakwa pihak-pihak tertentu,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast