KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak kerajaan Sweden dan Belanda mengenakan tindakan tegas ke atas dua rakyat masing-masing yang bertindak biadab membakar al-Quran.
Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali menegaskan, tindakan Rasmus Paludan dari Sweden membakar al-Quran dan Edwin Wagensveld dari Netherlands mengoyak muka surat naskhah kitab itu membangkitkan kemarahan umat Islam dunia.
“Bagi pihak Putra, saya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan kedua mereka terhadap al-Quran, yang merupakan kitab suci bagi umat Islam.
“Al-Quran mengandungi firman Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad. Kitab ini suci dan tidak ternilai kesuciannya serta bacaannya adalah ibadah.
“Al-Quran tidak sama dengan kitab penganut agama lain. Ia adalah salah satu mukjizat terbesar Nabi Muhammad dan sebarang perbuatan biadab ke atas kitab ini dianggap sebagai perbuatan yang sangat tercela, yang tidak dapat dimaafkan oleh umat Islam,” katanya selepas menyerahkan pernyataan kecaman kepada Kedutaan Sweden di sini, hari ini.
Nota pernyataan kecaman itu diserahkan Ketua Pergerakan Wira Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif kepada pegawai Kedutaan Sweden.
Ahad lalu, Rasmus, ahli politik sayap kanan Sweden bertindak membakar naskhah al-Quran di Stockholm diikuti pada Isnin, tindakan ketua pelampau berhaluan kanan Gerakan Anti-Islam Eropah, PEGIDA, Edwin Wagensveld memijak dan mengoyak al-Quran serta membakarnya di satu lokasi di Belanda.
Tegas Ibrahim, pemerintah di dua kerajaan itu wajar mengenakan hukuman berat terhadap Rasmus dan Edwin kerana telah mengguris perasaan umat Islam di seluruh dunia.
Katanya, perbuatan itu hanya akan melebarkan jurang antara umat Islam dan barat.
Beliau turut menggesa kerajaan Malaysia tidak menerima maaf daripada dua negara berkenaan, malah wajar sekali diputuskan hubungan diplomatik dengan negara itu.
Ibrahim juga mengajak umat Islam, rakyat Malaysia dan dunia khususnya memboikot produk Sweden iaitu Electrolux, Volvo dan lain-lain. – MalaysiaGazette