Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Malaysia (ACCCIM) 2023 di Wisma Chines Chamber, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 28 JANUARI 2023

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari depan akan menumpukan dua isu melibatkan rakyat, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, isu-isu berkenaan adalah isu keselamatan makanan dan import makanan yang tinggi akan diberikan perhatian oleh Kerajaan Perpaduan.

“Import makanan terlalu tinggi, jadi ini hal-hal yang kita akan beri tumpuan dalam belanjawan dan saya dengan pasukan di Kementerian Kewangan  telah meneliti memorandum daripada ACCCIM (Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia).

“Memorandumnya cukup tebal, banyak isu yang dibangkitkan tetapi membantu kita sebenarnya,” katanya dalam ucapan ketika menghadiri sambutan Tahun Baru Cina 2023  anjuran ACCCIM) di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke  dan Menteri Sains dan Teknologi, Chang Lih Kang.

Dalam pada itu, Anwar berkata, antara lain bajet tahunan tersebut akan turut menyentuh isu pemusatan alam sekitar, termasuk soal sekuriti makanan.

Selain itu, Malaysia perlu lebih berani memperkenalkan dasar-dasar baharu yang boleh memberikan manfaat kepada rakyat khususnya.

“Dasar-dasar ekonomi yang boleh memacu pertumbuhan boleh menyegarkan negara dengan dasar ekonomi yang jelas melihat kepada kedudukan semasa pasca Covid-19, kemelesetan ekonomi di Eropah, kesan perang Ukraine-Rusia, ia menuntut kita untuk lebih berani memperkenalkan dasar-dasar yang boleh memberi manfaat kepada semua.

“Maka sebab itulah saya tekankan peranan bukan sahaja kepada syarikat-syarikat besar, peranan bagi IKS atau SME dalam negara kita,” katanya lagi.

Bajet 2023 akan dibentang semula di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini susulan perubahan tampuk pentadbiran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November tahun lalu.

Anwar sebelum ini memberi jaminan Bajet 2023 yang akan dibentang semula bulan depan bagi memenuhi keperluan setiap lapisan rakyat.

Malah Bajet 2023 juga akan memberi jaminan pentadbirannya tidak akan meminggir mana-mana kumpulan masyarakat. – MalaysiaGazette