paludan al-quran
Anwar Ibrahim (enam dari kiri) bersama Ahmad Maslan (paling kanan) dan Abdul Latif Mirasa (dua dari kanan) pada majlis perasmian Pesta Kesenian Al-Quran Restu Global di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya. - Foto MUHD NA'IM, 28 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Malaysia akan membalas kebiadaban ahli politik Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran dengan menyebarkan sejuta naskhah kitab suci itu ke seluruh dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu merupakan cara paling berfaedah bagi bertindak balas terhadap perbuatan gila dan biadab oleh Paludan.

“Kita bertekad dalam masa singkat, insya-Allah, secara berperingkat untuk mencetak dan mengedar sejuta naskhah al-Quran ke seluruh dunia.

“Ia akan disusuli dengan beberapa program ke arah penghayatan dan pemahaman al-Quran dengan mesej dan risalah yang jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Kesenian Al-Quran Restu Global di Kompleks Nasyrul Quran di sini hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latif Mirasa.

Pada majlis yang sama, Anwar turut menyampaikan geran berjumlah RM2 juta kepada Yayasan Restu bagi menampung kos mencetak dan mengedarkan al-Quran.

Perbuatan biadab Paludan membakar senaskah al-Quran di Stockholm baru-baru ini seperti yang dapat disaksikan melalui rakaman video yang tular dalam media sosial telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Anwar menambah, Malaysia juga akan menghubungi negara-negara Islam yang lain bagi menyelaraskan pengedaran naskhah-naskhah al-Quran tersebut secara berkesan.

“Peruntukannya sebahagian besar daripada kerajaan, wakaf pun ada dan kita akan rujuk kepada menteri agama dan tentunya kita akan hubungan rakan-rakan kita di luar negara,” jelasnya.

Berhubung tindakan Paludan itu, Anwar telah mengeluarkan kenyataan 10 hari lalu manakala kerajaan telah memanggil Duta Besar Sweden di negara ini untuk menyuarakan bantahan rasmi.

Beliau juga maklum tentang demonstrasi dan bantahan yang disuarakan oleh umat Islam di negara ini terhadap perbuatan Paludan.

Pesta Kesenian Al-Quran Restu Global yang bermula 20 Januari lalu dan berakhir esok antara lain mempamerkan buku sirah Nabi Muhammad SAW yang terbesar di dunia, artifak kain kiswah Kaabah dan aktiviti kaligrafi. – MalaysiaGazette