Anwar mengadakan lawatan rasmi ke Singapura esok bertemu rakan sejawatan. Gambar Fail

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Singapura esok.

Lawatan itu atas jemputan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Menurut Wisma Putra, ia merupakan lawatan rasmi sulung beliau ke Republik Singapura selepas menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 pada 24 November lalu.

Anwar akan diiringi isterinya yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Delegasi itu juga akan disertai Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil; dan pegawai kerajaan dari kementerian serta agensi berkaitan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Zohari Tun Abang Haji Openg dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menyertai delegasi tersebut.

Anwar akan bertemu pemimpin Singapura termasuk presidennya, Halimah Yacob dan Hsien Loong.

Kedua-dua perdana menteri itu juga akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mempromosikan kerjasama dalam data, keselamatan siber dan ekonomi digital serta dua kerangka kerjasama dalam ekonomi digital dan ekonomi hijau.

Dalam lawatan rasmi itu juga Anwar akan turut mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di negara itu.

“Lawatan ini mencerminkan hubungan akrab antara Malaysia dan Singapura sebagai jiran rapat serta negara anggota ASEAN, termasuk jalinan antara rakyat yang erat serta hubungan ekonomi yang kukuh.

“Lawatan ini akan memberi peluang kepada kedua pihak untuk meneroka peluang kerjasama bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala dan membincangkan isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” kata kenyataan itu hari ini.

Pada 2022, Singapura merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM367.53 bilion, dengan peningkatan 29.4 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2021. – MalaysiaGazette