Zambry Abdul Kadir

SINGAPURA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua perkara yang menjadi masalah dan halangan melewatkan proses menandatangani perjanjian di antara Malaysia dan Singapura diselesaikan segera.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, antara isu tertunggak Malaysia-Singapura melibatkan maritim, persempadanan semula maritim, ruang angkasa dan air.

Beliau yakin lawatan Perdana Menteri esok akan mengukuhkan lagi hubungan di antara dua negara.

Tambahan pula, profil Anwar amat dikenali di peringkat antarabangsa khususnya ASEAN.

“Itu yang dapat kita saksikan apabila Perdana Menteri membuat kunjungan rasmi ke Indonesia dan Brunei.

“Kali ini beliau ke Singapura dan ini akan meningkatkan lagi profil Malaysia di peringkat antarabangsa terutama dalam membina keyakinan pelabur untuk datang melabur ke Malaysia semula.

“Apa yang paling mustahak ialah kepimpinan negara yang ada ketika ini dan kestabilan negara yang diwujudkan selepas pilihan raya umum,” katanya semasa sidang media pembuka tirai sempena lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke Singapura, di sini hari ini.

Anwar yang ditemani isteri Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail turut diiringi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Turut serta dalam delegasi rasmi adalah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Zohari Tun Abang Haji Openg dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Perdana Menteri dijangka tiba di Singapura jam 9.30 pagi dan disambut Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan.

Beliau dijadual mengadakan kunjungan rasmi ke atas Presiden Singapura Halimah Yacob di Istana Presiden.

Ia disusuli pertemuan dua hala di antara Anwar dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Beliau dijangka menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) bagi Mempromosikan Kerjasama dalam Data, Keselamatan Siber dan Ekonomi Digital serta dua Kerangka Kerjasama dalam Ekonomi Digital dan Ekonomi Hijau.

Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Singapura.- MalaysiaGazette