MELAKA – Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik menyifatkan tindakan UMNO memecat dan menggantung beberapa nama pemimpin parti menyebabkan yang lain ‘kecut’ untuk mencabar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan datang.
Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, ia merupakan antara dua matlamat besar parti itu di masa hadapan.
”Selain itu, ia juga amat berkait rapat dengan kes-kes pendakwaan yang sedang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadapi ketika ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Mesyuarat MKT pada Jumaat lalu memutuskan memecat bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden parti, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.
Turut dikenakan tindakan sama adalah bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd Sharif, dan Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang selain lima ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli UMNO dari negeri Pahang.
Antara kesalahan mereka ialah menjadi calon bebas, calon parti selain Barisan Nasional (BN), dan terlibat membantu parti lawan ketika PRU15.
Mengulas lanjut, Abdul Rahim yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, kemampuan Timbalan Perdana Menteri (TPM) itu mengekalkan jawatan presiden juga amat dikehendaki Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tanpa Zahid yang membawa sokongan UMNO untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin PMX (Perdana Menteri Ke-10) boleh tergugat dan rebah.
“Sokongan dari Sabah dan Sarawak amat ‘liquid’ kerana mereka juga melihat kehadiran TPM yang dibelenggu kes-kes mahkamah bukanlah satu pertanda yang baik, sihat dan mantap untuk kesetabilan politik negara,” katanya. – MalaysiaGazette.