Mohamed Khalid Nordin Pengerusi Perhubungan UMNO Johor yang baharu.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang baharu, Datuk Seri Mohamed Norden Khalid menolak dakwaan pelantikannya untuk menguatkan mana-mana kelompok atau kumpulan.

Sebaliknya, kata beliau, pelantikan itu untuk memulih, merawat dan membangunkan semula kekuatan UMNO terutama di negeri itu.

Kata beliau, adat berpolitik, pasti ada badai geloranya dan sebagai ahli parti harus menerimanya sebagai pasang surut dalam perjuangan.

“Insya-Allah akan ada hikmah terpenting dari segalanya itu dan saya menyeru semua pemimpin UMNO Johor bertaut kembali serta bermuafakat demi kelangsungan parti,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Jumaat lalu melantik Mohamed Khaled sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Johor menggantikan Datuk Seri Hasni Mohamad yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Hasni menerajui UMNO Johor sejak 2018 dan pada 28 Februari 2020, beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-18 menggantikan Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

Bagaimanapun, pada Mac tahun lalu, tempatnya diganti Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas Barisan Nasional (BN) menang lebih dua pertiga Pilihan Raya Negeri (PRN).

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan, beliau tidak akan menyisih dan meminggirkan sesiapa pun kerana baginya semua mereka adalah sahabat dan keluarga besar UMNO Johor yang akan dirai serta dihargai.

Beliau turut berkata, pelantikannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor datang dengan tanggungjawab yang sangat berat.

“Saya berterima kasih atas kepercayaan Presiden terhadap saya dan saya sangat menghargai sumbangan besar Datuk Hasni Mohammad terhadap UMNO Johor.

“Peralihan kepimpinan ini dilakukan untuk saya meneruskan kerja-kerja baik yang telah beliau laksanakan, Insya-Allah.

“Keutamaan saya ialah untuk memastikan perpaduan dan kesatuan UMNO Johor tetap terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette