KUALA LUMPUR – Pas dan Perikatan Nasional (PN) berdepan dengan lima petisyen pilihan raya bermula esok hingga 8 Februari ini.
Serentak itu, Pas yang dibarisi 15 peguam akan mengendalikan perbicaraan bantahan awal petisyen pilihan raya bagi Parlimen Marang, Kemaman, Kuala Terengganu di Terengganu, Masjid Tanah di Melaka dan Gua Musang di Kelantan.
Menurut kenyataan Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Pas Pusat (LUHAM), pasukan peguam Pas dan PN dibarisi Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Wan Rohimi Wan Daud, Nik Bahrum Nik Abdullah, Saifuddin Othman, Yusfarizal Yussoff dan Mohd Faizi Che Abu.
Mereka turut dibantu peguam Ahmad Lutfi Awang, Saifuddin Othman, Ahmad Nazrin Abu Bakar, Mohd Tajudin Abd. Razak, Aznam Mohamed, Datuk Fariz Irwan Mustaffa, Abdul Aziz Hassan.
Selain itu, Mohd Allauddin Mat Nor, Mohd Zabidi Yusof, Azrulrizal Ibrahim, Mohd Nasir Embong dan Yahaya Othman turut membantu.
Kata kenyataan itu, perbicaraan bantahan awal bagi Parlimen Marang diadakan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu esok di hadapan hakim Datuk Hassan Abdul Ghani.
Esok juga diadakan perbicaraan bantahan awal petisyen bagi Parlimen Kuala Terengganu melalui zoom di hadapan Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.
Perbicaraan bantahan awal Parlimen Kemaman turut diadakan esok melalui zoom di hadapan Hakim Datuk Mohammad Abazafree.
Klarifikasi dan keputusan bantahan awal petisyen Parlimen Masjid Tanah, Melaka pula pada Selasa ini di Mahkamah Tinggi Melaka yang dikendalikan Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis.
Perbicaraan bantahan awal petisyen Parlimen Gua Musang pula diadakan 8 Februari ini di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. – MalaysiaGazette