Ye Gang Ketua Pegawai Operasi Kumpulan SEA mengiring Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika mengadakan lawatan di syarikat tersebut.

KUALA LUMPUR – Sea Limited (Sea), sebuah syarikat Internet global terkemuka yang berpangkalan di Singapura memberi komitmen untuk mengembangkan pelaburannya di Malaysia dan bakal mewujudkan lebih 2,000 pekerjaan langsung.

Syarikat induk bagi Shopee ini mengendalikan tiga teras perniagaan merangkumi hiburan digital, e-dagang, serta pembayaran digital dan perkhidmatan kewangan yang dikenali sebagai Garena, Shopee dan SeaMoney. Shopee merupakan platform e-dagang serantau terbesar di Asia Tenggara dan Taiwan.

Keputusan ini telah dimaklumkan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, semasa sesi lawatanya ke ibu pejabat Shopee.

Misi pelaburan tiga hari Menteri MITI adalah bersempena lawatan rasmi pertama YAB Perdana Menteri ke Singapura esok.

Menurut beliau, SEA Limited telah memperincikan pelan projek pembesarannya di Malaysia iaitu melibatkan penyelarasan dan penetapan perkhidmatan awan, data hosting dan pemprosesan serta gudang logistik untuk perkhidmatan e-dagang.

Projek perkhidmatan awan SEA Limited akan dibangunkan di fasiliti tiga tingkat dilengkapi dengan teknologi hijau di Kulai, Johor, dengan 24 data hall suites, bilik M&E, ruang pejabat, serta kemudahan penyimpanan dan tempat letak kereta yang dijangka siap menjelang suku pertama 2024.

Selain itu, platform e-dagang Shopee juga akan mengembangkan operasinya di Malaysia melalui gudang mega baharu yang sedang dibina di Bukit Raja, Klang.

Gudang dua tingkat seluas 1.4 juta kaki persegi itu merupakan kemudahan logistik berteknologi tinggi dan bersepadu yang dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur awam, juga bakal menjadi antara gudang logistik terbesar di Malaysia. Kedua-dua projek tersebut akan mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan.

”Keputusan SEA Limited untuk mengembangkan strategi pelaburannya di Malaysia jelas mencerminkan keyakinan syarikat terhadap prospek, serta kestabilan operasi, polisi dan dasar kerajaan serta landskap perniagaan di Malaysia.

”Perancangan pelaburan asing mereka di dalam pengkomputeran awan dan gudang berteknologi tinggi bakal mencipta lebih 2,000 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat kita, yang juga akan membantu dalam meningkatkan kemahiran dan produktiviti, serta daya saing negara dalam jangka panjang.

”Kita juga menjangkakan kesan limpahan yang positif untuk PKS, korporat dan masyarakat setempat. Manfaat ini termasuk dari segi penyumberan tempatan, pembangunan vendor dan pengukuhan ekosistem perindustrian tempatan khususnya dalam sektor digital,” kata Tengku Zafrul.

Semasa misi pelaburan tiga hari itu, Tengku Zafrul juga akan mengadakan pertemuan perniagaan dengan Kumpulan Yondr, peneraju global pusat data dan INSEACT, sebuah syarikat protein alternatif yang berpangkalan di Singapura, yang menghasilkan protein mampan bagi akuakultur (ternakan udang).

Sehingga kini, negara Singapura ialah pelabur kedua terbesar di dalam sektor perkilangan dengan 3,475 projek perkilangan yang beroperasi dengan jumlah pelaburan sebanyak RM96.36 bilion (AS$25.4 billion). – MalaysiaGazette