Sidang media khas dibuat oleh UMNO Bahagian Sembrong susulan penggantungan Hishammuddin Hussein.

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Sembrong mahu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menyemak semula hukuman penggantungan selama enam tahun yang dikenakan terhadap Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian itu, Abd Ghani Abd Rashid berkata, tuntutan itu dibuat kerana hukuman penggantungan selama enam tahun yang dikenakan ke atas Hishammuddin menggambarkan seolah-olah beliau telah melakukan kesalahan berat  melibatkan pengkhianat dan cubaan merosakkan parti.

Menurutnya, MKT sepatutnya mengambil langkah dan proses yang sewajarnya sebelum membuat keputusan drastik tersebut.

“UMNO Sembrong berpandangan hukuman MKT ini amat berat, gantung selama enam tahun digambarkan individu nak khianat dan rosakkan parti walhal tidak ada pun langkah sebegitu dibuat.

“Apatah lagi pertimbangan yang dibuat itu tanpa proses sewajarnya, tidak ada surat tunjuk surat, tanpa sesi pendengaran lembaga disiplin.

“Kita harap ada semakan kepada hukuman ini mulakanlah dengan tata cara betul, panggil, proses itu perlu dibuat supaya apa yang diluah individu itu dapat didengar supaya ada satu tindakan yang lebih tepat. Gantung enam tahun ini bukan hukuman yang main-main (ringan),” katanya ketika sidang media petang tadi.

Terdahulu katanya, UMNO Sembrong bukan hanya terkejut malah kecewa dengan berita penggantungan Hishammuddin yang diumumkan pada Jumaat lalu.

Sehubungan itu, beliau mewakili UMNO bahagian berkenaan menuntut penjelasan daripada kepimpinan yang menggangotai MKT.

“Sudah tentu hukuman yang diambil langsung tidak mengambil kira jasa beliau (Hishammuddin). Atas dasar itu kami menuntut penjelasan, mengapa penggantungan keras ini diambil.

”Saya gambarkan tindakan MKT sebagai tidak cermat, isunya lebih kepada isu berlainan pandangan untuk masa depan parti tapi diurus dengan cara hukuman yang berat, itulah cara yag dibuat kepada mantan Ketua UMNO Bahagian Sembrong,” tambahnya.

Sementara itu, Abd Ghani tidak menolak wujud ketidakpuasan hati dalam kalangan akar umbi di Sembrong terhadap penggantungan Hishammuddin

Berikutan itu, beliau dan kepimpinan bahagian berkenaan akan bertemu dengan akar umbi bagi memberi pemahaman mengenai situasi sebenar.

“Ini penting atas tanggungjawab bagi mengelakkan perpecahan maklumlah sekarang ini media sosial ada pelbagai pandangan.

“Kalau kita tidak urus dengan betul persepsi akan membawa perpecahan kepada parti khususnya ahli UMNO di bawah,” kata Abd Ghani lagi.

Selain Hishammuddin turut digantung bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan.

Manakala dua pemimpin diumumkan dipecat ialah bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Apa semak semak. Nak ikutkan hukuman bukan gantung 6 tahun tapi pecat terus. Dia jadi dalang untuk beri sokongan kepada Tun M dan TSMY. Dia ejen merosakan UMNO.

  2. Bak kata abdul wahub.. “dah kau tau dia tu penyamun, kaki penipu, yang kau org boleh kena tipu tu kenape?”
    Takyah lah semak, rayu..meh ja join parti abdul wahub. Nak kena lelong dah pun parti tu.

Comments are closed.