judi tanah rizab Melayu agus kelantan air sagu hati AKSB
Mohamad Kamal Mohamed

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Kelantan (DPPK) mempersoalkan apakah indikator kelayakan yang difikirkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil anaknya, Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Kewangan dan Ekonomi.

Ketuanya, Mohamad Kamal Mohamed berkata, apakah kerana Nurul Izzah memegang jawatan Naib Presiden PKR atau disebabkan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mempunyai kelayakan akademik yang melayakkannya diberi jawatan itu.

“Kalau Nurul Izzah ada akademik dan pengalaman dalam bidang kewangan yang melayakkannya diberi jawatan itu, maknanya beliau lebih baik daripada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

“Atau hanya sebab beliau anak perempuan kepada Perdana Menteri ke-10 yang satu-satunya secara langsung terjun ke bidang politik?,” soal beliau menerusi kenyataan hari ini.

Dalam temubual eksklusif dengan The Star semalam, Nurul Izzah mengesahkan beliau dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri yang juga ayahnya, Anwar Ibrahim.

Beliau memulakan khidmatnya itu berkuatkuasa 3 Januari lalu dan pengalaman sebagai Ahli Parlimen selama tiga penggal mampu memberi manfaat dalam mengemudi tadbir urus ekonomi, akauntabiliti dan dasar polisi negara.

Menurut Mohamad Kamal, apa saja yang Anwar cuba justifikasikan, beliau telah melanggar prinsipnya dalam siri reformasinya bermula 1998 iaitu menentang kronisme dan nepotisme.

“Tidak timbul soal gaji diambil atau tidak, posisi penting jawatan itu perlu dilihat secara profesional atau fungsinya yang boleh mempengaruhi Perdana Menteri, malah Menteri Ekonomi.

“Jawatan ini kalau dibuka, ramai mahu malah ada yang sanggup membayarnya kerana fungsinya yang besar dan berpengaruh mengurus kekayaan negara.

“Ini secara tidak langsung telah membuka ruang kepada pelanggaran integriti,” katanya. – MalaysiaGazette