Foto Angkatan Pertahanan Awam (APM) Rompin

KUANTAN – Situasi banjir di Rompin dilaporkan semakin baik di mana 62 keluarga telah dibenar pulang ke kediaman masing-masing.

Berdasarkan laporan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Rompin, sehingga pukul 4 petang tadi, hanya satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Denai yang dibuka.

“Seramai 27 mangsa daripada lapan keluarga masih perlu ditempatkan di PPS SK Denai berbanding sejumlah 219 mangsa daripada 70 keluarga yang ditempatkan tiga PPS pagi tadi,” katanya dalam kenyataan.

Ini menjadikan PPS Balai Raya Bandar Pewira Jaya, PPS Balai Raya Setajam, PPS Balai Raya Bukit Lepas, PPS Balai Raya Kampung Rekoh dan PPS Balai Raya Kampung Jawa yang dibuka sejak banjir melanda daerah itu secara rasminya telah ditutup.

Dalam pada itu, paras air sungai utama di empat daerah iaitu Bera, Maran, Kuantan dan Rompin mencatat trend penurunan, namun, paras air Sungai Keratong, Rompin masih pada paras bahaya iaitu 23.15 meter.- MalaysiaGazette