jeti roboh
Insiden jeti roboh di Kampung Papabag, Semporna, Sabah, hari ini. (Gambar: Tangkap layar video tular)

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan dua murid cedera ringan dalam insiden jeti roboh di Kampung Papabag, Semporna, Sabah pada pukul 6.45 pagi hari ini.

Menurut kementerian itu, kira-kira 25 murid termasuk kanak-kanak tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan dua guru Sekolah Kebangsaan Pulau Papabag terlibat dalam kejadian tersebut.

“Sebagai makluman, laporan awal yang diperoleh dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna mendapati insiden tersebut berlaku semasa murid sedang menaiki jeti di kampung untuk ke sekolah.

“Akibat daripada runtuhan tersebut, dua orang murid cedera ringan manakala mangsa lain dilaporkan selamat.

“KPM melalui PPD Semporna juga telah mengambil langkah dengan menyiasat punca kejadian dan menyediakan bantuan segera kepada semua mangsa yang terlibat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

KPM mengulas mengenai kejadian jeti roboh tersebut yang menarik perhatian netizen setelah tular dalam media sosial.

KPM memandang serius terhadap insiden tersebut dan akan memastikan aspek keselamatan ditingkatkan dengan mewajibkan pemakaian jaket keselamatan dan keadaan struktur jeti yang selamat digunakan.

Selain itu, KPM juga akan mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh serta pihak berkuasa tempatan dalam waktu terdekat untuk membincangkan cadangan penambahbaikan infrastruktur di jeti sedia ada bagi memastikan agar kejadian seperti ini tidak berulang.

“Usaha untuk memberikan bantuan sokongan psikososial terhadap guru dan murid yang menjadi mangsa akan terus digiatkan.

“KPM juga akan memohon pihak kerajaan tempatan untuk menyediakan laluan alternatif yang lebih selamat untuk murid, ibu bapa dan guru ke sekolah,” jelasnya. – MalaysiaGazette