Mohd. Firrdhaus Mahmood.

MELAKA – Populasi hidupan liar seperti kera dan babi hutan merekodkan aduan kacau ganggu tertinggi di Melaka sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka Mohd Firrdhaus Mahmood berkata, rekod sejak Januari hingga November lalu menunjukkan 1,634 aduan diterima.

Aduan kacau ganggu termasuklah di beberapa kawasan perumahan khususnya dalam daerah Alor Gajah yang mencatatkan aduan tertinggi.

“Daripada 1,634 aduan diterima tahun lalu, spesies kera menjadi ancaman tertinggi kepada penduduk dengan 1,435 dalam tempoh Januari hingga November,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Ini diikuti babi hutan sebanyak 135 aduan, lotong (31), musang (13) dan lain-lain spesies haiwan liar seperti ular sebanyak 20 aduan.

Menurutnya, dalam tempoh sama, sebanyak 3,413 kera dan 978 babi hutan telah dilupuskan.

“Semua jenis aduan ini bagaimanapun secara keseluruhannya menunjukkan trend penurunan sekitar 30 peratus ekoran tindakan proaktif menangkap haiwan-haiwan liar ini berdasarkan aduan.

“Cuma mungkin aduan berkaitan babi hutan sahaja kebelakangan ini banyak kita terima aduan disebabkan musim hujan membuatkan kawasan rendah banjir dan ia terpaksa keluar dari habitat mencari kawasan lebih tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette