pascabanjir
Ahmad Zahid Hamidi (empat dari kiri) melihat keadaan jalan yang rosak teruk akibat banjir di Pitas, Sabah, hari ini. (Gambar: Facebook)

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan terus memberi tumpuan bagi proses pascabanjir khususnya melibatkan jalan-jalan yang rosak.

“Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sendiri akan melihat rumah-rumah yang telah terjejas teruk untuk diambil tindakan segera,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Beliau yang juga menteri KKDW mengulas kunjungannya ke Pitas, Sabah hari ini bagi melihat kawasan yang terkesan dengan banjir.

Ahmad Zahid turut meninjau situasi pengurusan bencana yang mana seramai 565 kehidupan keluarga melibatkan 1,363 mangsa telah terjejas akibat banjir yang melanda.

Ahmad Zahid Hamidi (kanan) menyampaikan bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir di Pitas, Sabah, hari ini. (Gambar: Facebook)

Walaupun keadaan air semakin surut, beliau difahamkan, hujan akan berterusan selama beberapa hari lagi.

“Penduduk dinasihati agar berhati-hati dan segera ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya arahan pemindahan telah diterima.

“Bantuan wang ihsan buat mangsa bencana banjir telah diberikan sebentar tadi kepada 100 ketua isi rumah (KIR),” jelasnya.

Ahmad Zahid juga memaklumkan, Pitas dan Kota Marudu adalah antara daerah yang teruk dilanda banjir di Sabah kali ini.

“Banyak rumah kediaman dan kawasan tanaman yang ditelenggami air serta banyak jalan utama dan jalan kampung yang telah rosak akibat hujan yang berterusan,” katanya. – MalaysiaGazette