Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamaed Khaled Nordin bergambar bersama perwakilan pelajar selepas Majlis Perutusan Tahun Baru 2023 di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 30 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Pengurusan dan pemilik institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) perlu memikirkan pelan perniagaan yang terbaik tanpa mengharapkan bantuan kerajaan untuk menyelamatkan institusi masing-masing.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihak terbabit perlu mencari jalan keluar komersial terbaik termasuk menutup operasi sekiranya perlu.

Menurutnya, ia berikutan tiada ganti terhadap kualiti dan kepercayaan awam kepada sektor pendidikan tinggi negara.

“Kerajaan tidak mempunyai dana penyelamatan dan tidak berhasrat menjadi talian hayat kepada IPTS yang bermasalah. Solusi kita mesti solusi perniagaan dan jalan keluar komersial terbaik. Jika ada yang perlu ditutup, maka kita akan tutup.

“Kerana akhirnya, kualiti dan kepercayaan awam terhadap sektor pendidikan tinggi tidak ada galang gantinya,” katanya ketika berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2023 di kementeriannya di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan meneliti secara serius serta mendalami isu IPTS yang bergelut dengan masalah kebolehsaingan dan kelangsungan, khususnya yang terkesan teruk dengan pandemik.

“Kita akan meneliti perkara ini secara serius dan mendalam. Ia memerlukan perancangan yang strategik dan pragmatik,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, tiga strategi sedang dinilai pihak KPT bagi memperbaiki akses dan rejim pembiayaan pendidikan negara dalam usaha meneroka model kehidupan kampus yang baharu.

Katanya, tiga strategi itu ialah pendidikan anjal, memperkemas dan memperluaskan Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) serta memberi nafas dan sentuhan baharu kepada fungsi dan operasi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Jelas beliau, program SULUNG adalah penajaan pembiayaan pendidikan kepada pelajar yang menjadi generasi pertama keluarga melanjutkan pengajian ke universiti.

“Ruang pendidikan anjal akan menggabungkan elemen bersemuka dan virtual, dengan memanfaatkan platform digital dan teknologi. Pendekatan sebegini bukan sahaja mendakap teknologi dan kemodenan tetapi memberi impak signifikan kepada pengurangan kos pengajian.

“Semuanya bagi membolehkan pengalaman pembelajaran yang luwes (anjal). Strategi kedua, kepada yang benar-benar miskin, program SULUNG akan saya perkemas dan lebarkan cakupannya,” jelasnya.

SULUNG adalah inisiatif KPT membantu anak cemerlang tetapi kurang berkemampuan daripada keluarga B40 yang menjadi individu pertama dalam keluarga melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi. Ia disasar diperluaskan ke semua 20 universiti awam (UA) di seluruh negara pada tahun ini.

Menerusi program itu, pelajar bukan sahaja diberi laluan khusus ke UA, malah turut ditawarkan biasiswa, elaun bulanan seperti elaun sara hidup, bantuan komputer riba, kemudahan asrama sepanjang tempoh pengajian, selain bimbingan pembimbing program dan penasihat akademik.

Selepas menamatkan pengajian, graduan daripada program itu akan dibantu dari segi kebolehpasaran melalui kerjasama dengan industri bagi memastikan mereka mendapat peluang pekerjaan lebih baik selepas tamat pengajian, dapat berdikari dan mengubah kehidupan keluarga kepada yang lebih baik.

Dalam pada itu Mohamed Khaled berkata, sudah tiba masa pemberian pendidikan percuma melalui ilmu dan kemahiran, digunakan bagi menamatkan kemiskinan dan bukannya dengan penyaluran bantuan sara hidup yang tidak berkesudahan.

Mengenai strategi ketiga, beliau menjelaskan, sentuhan baharu terhadap PTPTN, termasuk mengurangkan beban hutang ditanggung tabung itu bagi memastikan kelestariannya, selain sasaran menjadikannya institusi wakaf atau endowment nasional.

“Mekanisme dan dasar itu akan dibawa ke perhatian Jemaah Menteri untuk disokong dan dijadikan dasar yang berkelangsungan,” katanya. – MalaysiaGazette