Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Pusat Pendidikan Pasaran (CME) berpandangan anak kepada Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar tidak layak untuk dilantik sebagai penasihat ekonomi.

CME menerusi kenyataan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Carmelo Ferlito mempersoalkan kelayakan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada bapanya.

“Beliau tidak mempunyai sebarang latar belakang khusus dalam bidang ekonomi atau kewangan. Walaupun ini tidak diperlukan untuk peranan politik utama seperti menteri atau timbalan menteri, ia harus diwajibkan bagi penasihat dan pegawai kanan,” katanya.

Mengulas lanjut, CME berkata, walaupun Nurul Izzah adalah penasihat perdana menteri secara pro bono, bagaimanapun melantik penasihat yang tidak berkelayakan juga merupakan satu dasar yang tidak baik untuk dilaksanakan.

“Dasar buruk, walaupun dipandu oleh niat baik, boleh merosakkan negara. Kita telah melihat ini dengan siling harga atau sekatan pekerja asing,” kata CME lagi.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pelantikan anak sulungnya itu.

Jelas Anwar, Nurul Izzah bukan sahaja memiliki ijazah pertama bidang kejuruteraan tetapi ijazah kedua dalam dasar awam merangkumi ekonomi, politik dan sosial dari Johns Hopkins School of Advanced International Studies, sebuah universiti di Amerika Syarikat.

Kenyataan itu ekoran pendedahan yang dibuat Nurul Izzah dalam satu temubual baru-baru ini,

Naib Presiden PKR itu menjelaskan, beliau tidak akan diberi gaji sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan. – MalaysiaGazette