Mendiang Gopal Sri Ram

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan untuk menangguhkan sambung prosiding 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Razak susulan kematian Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram semalam.

Mendiang Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan Najib di Mahkamah Tinggi termasuklah penyewelengan dana RM2.6 bilion milik 1MDB, meminda laporan audit 1MDB dan pecah amanah berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Sri Ram yang juga seorang peguam, dilantik sebagai timbalan pendakwa raya kanan pada Ogos 2018 untuk mengendalikan pendakwaan empat kes jenayah membabitkan Najib.

Mendiang juga mengendalikan kes rasuah yang dihadapi oleh Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek hibrid solar bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan pengubahan wang haram.

Pasukan pendakwaan hari ini memohon untuk penangguhan prosiding bagi membolehkan pihaknya menghadiri upacara pengebumian mendiang esok.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dalam nada begitu sebak berkata, Sri Ram umpama ‘ayah’ kepada pasukan pendakwaan dan adalah penting untuk keseluruhan pasukan hadir pada upacara itu.

Ahmad Akram memohon supaya prosiding yang sepatutnya bersambung hari ini dengan saksi pendakwaan ke-41, Joanna Yu memberi keterangan pada pemeriksaan balas pembelaan di sambung pada Khamis ini.

“Esok kami perlu hadir ke majlis pengebumian, mendiang bukan sahaja ketua pasukan kami sebaliknya umpama bapa kepada kami. Kami mohon budi bicara Yang Arif untuk melapangkan tarikh hari ini dan esok bagi membenarkan permohonan kami.

”Kami hendak hadir majlis penghormatan terakhir beliau sebelum dibawa ke Shah Alam untuk urusan selanjutnya. Kami ingin berada di sana bagi kedua-dua upacara

“Hari Rabu pula cuti Hari Wilayah.

“Mohon mahkamah sambung pada Khamis ini,” katanya di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah sebentar tadi.

Ahmad Akram juga memaklumkan kepada mahkamah pihaknya juga perlu masa untuk mengagihkan tugasan berikutan ‘kejutan’ kematian Sri Ram.

Dalam pada itu, peguam bela yang mengetuai pasukan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak membantah, sebaliknya turut melahirkan rasa simpati dan ucapan takziah atas kehilangan Sri Ram tengah hari semalam.

Muhammad Shafee juga memaklumkan kepada Collin pihaknya akan selesai pemeriksaan balas terhadap Joanna Yu, bekas Pegawai Perhubungan Ambank pada akhir minggu ini.

Sri Ram yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan, meninggal dunia di sebuah hospital swasta semalam selepas seminggu dimasukkan ke hospital mendapatan rawatan akibat jangkitan paru-paru.

Mendiang meninggalkan seorang balu dan dua  anak. -MalaysiaGazette