Banduan lelaki yang melarikan diri dari Pusat Koreksional Jasin, Jabatan Penjara Malaysia, Lipat Kajang di sini, sejak enam hari lalu direman empat hari di Mahkamah Majistret Jasin, Melaka hari ini.

JASIN – Seorang banduan lelaki yang melarikan diri dari Pusat Koreksional Jasin, Jabatan Penjara Malaysia, Lipat Kajang di sini, minggu lalu, direman selama empat hari.

Perintah reman sehingga Khamis ini terhadap lelaki berusia 44 tahun itu dikeluarkan Majistret Tan Chai Wei di Mahkamah Jasin, di sini hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu suspek berpakaian lokap tiba di pekarangan kompleks mahkamah diiringi anggota polis pada jam 9.15 pagi menaiki kenderaan polis.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman berkata, banduan itu berjaya ditahan polis di kawasan Alor Gajah, malam tadi.

“Dia ditahan kira-kira pukul 9 malam oleh sepasukan polis di kawasan Alor Gajah selepas dilaporkan lari dari Pusat Koreksional Jasin, 24 Januari lalu.

“Mahkamah kemudian membenarkan lelaki itu direman selama empat hari sehingga Khamis ini,” katanya.

Selasa lalu, tular di laman media sosial seorang banduan lelaki melarikan diri dari pusat tahanan Jabatan Penjara Malaysia di Lipat Kajang, Jasin sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk.

Kehilangan suspek yang ditahan berkaitan kes samun disedari pegawai bertugas di penjara berkenaan kira-kira pukul 2.20 petang ketika suspek sedang menjalani Program Reintegrasi Penghuni di pusat tahanan itu. – MalaysiaGazette.