Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof (kanan) diiringi Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir ketika hadir pada Majlis Anugerah Kecemerlangan MPOB 2022 di Dewan Sawit MPOB, Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 31 JANUARI 2023.

BANGI –  Formula jumlah kenaikan pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak berasaskan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan masih dalam perundingan.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof tidak menyatakan bila perundingan tersebut akan selesai.

“Tak tahu,” jawabnya ringkas ketika ditanya pemberita mengenai perkara itu selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 2022 di sini hari ini.

Pada 21 Januari lalu, Fadillah berkata, formula yang diperhalusi bersama oleh kerajaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak itu akan terus diperincikan bagi memastikan kaedah pengagihan yang lebih telus dan jelas.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sebahagian daripada tuntutan Sabah dan Sarawak berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 telah diselesaikan.

Menurut beliau, kuasa pentadbiran, kewangan dan perundangan telah diserahkan semula kepada Sabah dan Sarawak.

“Masih ada yang perlu dirundingkan, perlu dibawa ke Parlimen dan ada implikasi kewangan,” jelasnya.

Sementara itu, Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berharap soal keterjaminan makanan yang bakal disentuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut merangkumi aspek penyelidikan benih tanaman, baka haiwan, baja serta makanan ternakan.

“Kita nak tengok seluruh kitaran akan diberi tumpuan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast