Timbalan Perddana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa mengadakan Lawatan Ke Tiga Pusat Pemindahan Sementara di Batu Pahat hari ini.

BATU PAHAT – Kerajaan memperuntukkan RM7 juta sebagai jalan penyelesaian segera bagi menangani banjir di Batu Pahat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, RM5 juta bagi kegunaan pam-pam air manakala RM2 juta lagi bagi kerja-kerja mengorek sampah dan lumpur parit tersumbat.

Kedua-dua usaha itu akan dikendali Jabatan Pengairan dan Saliran serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Kini keadaan hujan biar pun agak berkurangan namun kita dapat nasihat daripada MetMalaysia bahawa kita telah memasuki siri hujan yang berada di situasi yang agak berbahaya..kita tahu amaran hujan berterusan siri ke 10 ini akan berlanjutan hingga 4 Februari ini, kawasan yang jadi fokus kawasan yang banjir semasa dan selepas.

“Beberapa cadangan penyelesaian banjir di Batu Pahat iaitu program penyelesaian segera, masalah yang berlaku disebabkan bottom neck.

“Kedua, paras air. Laut lebih tinggi daripada paras daratan. Kita lihat kaedah penyelesaian mesti gunakan pam berkuasa tinggi yang akan ditentukan lokasi oleh JPS (Jabatan Pengairan Saliran).

“Dalam keadaan itu, longkang quick and win akan digunakan dalam tempoh seminggu dua ini untuk melihat keberhasilannya terutama dalam mengorek parit yang kadar lumpur dan sampah sarap yang menyebabkan parit ini berlaku penyumbatan,” katanya selepas mengadakan Lawatan Ke Tiga Pusat Pemindahan Sementara di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid telah mengarahkan Ketua Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk menubuhkan pasukan khas dengan kekuatan satu rejimen bagi setiap Parlimen seluruh negara.

Pasukan itu diwujudkan bagi memberi bantuan melibatkan banjir, kebakaran serta kemalangan selain beberapa keperluan lain di 222 Parlimen.

“(Mereka akan diberi) latihan, pakaian seragam dan juga latihan setempat jika berlaku banjir atau kebakaran atau kemalangan dan beberapa keperluan yang lain dan dikoordinasikan di seluruh 222 Parlimen seluruh negara, ini dilakukan tahun ini,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast