Pusat Kardiologi Hospital Serdang di Hospital Serdang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 17 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menjelaskan dakwaan tular mengenai kelewatan seorang pesakit jantung yang dipindahkan ke Wad Kardiologi daripada Jabatan Kecemasan Hospital Serdang baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, pesakit berkenaan dipindahkan daripada Jabatan Kecemasan Hospital Serdang ke wad tersebut selepas terdapat kekosongan katil.

Pesakit yang datang ke hospital itu pada 26 Januari itu terlebih dahulu diberikan rawatan jantung sewajarnya oleh pasukan jabatan kecemasan sebelum dipindahkan.

Namun katanya, keadaan pesakit berusia 64 tahun tersebut tidak mengizinkan untuk prosedur rawatan penyakit jantung seterusnya.

“Semasa berada di wad kardiologi ,pemeriksaan, pemantauan serta rawatan berkaitan diteruskan oleh pasukan Jabatan Kardiologi. Penerangan kepada pesakit dan keluarga juga telah dibuat oleh pakar perubatan yang merawat pesakit.

“Pada hari yang sama keadaan kesihatan pesakit telah merudum secara tiba-tiba ketika berada dalam wad semasa rawatan,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, pasukan kardiologi berusaha menyelamatkan pesakit namun beliau meninggal dunia di wad berkenaan.

Mengulas lanjut Sha’ari berkata, Jabatan Kecemasan dan Jabatan Kardiologi Hospital Serdang telah menjalankan tugasan dengan baik walaupun jumlah pesakit yang datang mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan adalah tinggi.

“Hospital Serdang komited untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik,” tambahnya.

Sementara itu katanya, pihak hospital dan JKNS sedang dalam siasatan terperinci pihak hospital dan JKNS.

Beliau berkata, pihak hospital akan berhubung dengan keluarga pesakit berkenaan untuk mengadakan perbincangan lanjut mengenai kes mendiang.

“Pihak JKNS bersimpati dengan perkara yang telah dilalui mendiang dan ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga dan sahabat handai mendiang,” katanya lagi.-MalaysiaGazette