Poay Tiong (tengah), Khairil dan Martin menunjukkan surat bantahan yang dikemukakan di Pejabat Jabatan Alam Sekitar di Menara Persekutuan, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

MELAKA – Lebih 1,000 penduduk dan nelayan di Ujong Pasir, Alai, Serkam dan Telok Mas di sini menggesa kerajaan negeri mengkaji semula cadangan projek penambakan laut yang didakwa menjejaskan sosio ekonomi mereka.

Mereka mendakwa, cadangan projek tambakan laut seluas 481 hektar, atau bersamaan 889 padang bola sepak, bagi pembangunan pelabuhan laut dalam dan terminal pelayaran antarabangsa itu juga bertentangan dengan hasrat Kerajaan Perpaduan.

Menurut mereka, semangat Malaysia Madani di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat menekankan kepentingan pembangunan mampan yang gagal dipenuhi projek mega itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Komuniti Portugis Melaka, Martin Theseira yang mewakili 74 penduduk perkampungan itu di Ujong Pasir berkata, mereka tidak menentang pembangunan, namun ia harus menjamin kelestarian alam sekitar dan masyarakat.

“Selama 20 tahun menjadi nelayan, kami kecewa apabila jumlah tangkapan ikan semakin merosot sehingga lebih 60 peratus kesan projek ini yang mana semakin ia diteruskan, semakin terjejas hasil laut kami.

“Udang geragau semakin sikit, ikan gelama dan ketam bunga pun sama sehinggakan nelayan terpaksa pergi jauh ke tengah laut untuk menangkap ikan menyebabkan kos minyak juga meningkat,” katanya, di sini, hari ini.

Khoo Poay Tiong

Martin berkata demikian ketika ditemui media selepas menyerahkan surat bantahan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) terhadap projek itu di Menara Persekutuan, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Pandangan sama dilontarkan wakil penduduk dari Alai, Khairil Anuar Samad, 52, yang bimbang apabila kawasan penempatan mereka sering dilanda banjir kilat yang mungkin berpunca daripada penambakan laut di perairan Selat Melaka itu.

Sehubungan itu, katanya, dia sudah mengumpul lebih 100 tandatangan penduduk sekitar Padang Temu, Telok Mas dan Alai yang membantah cadangan projek tambakan laut itu.

Katanya, kawasan di sekitar Crystal Bay sendiri kerap berlaku bencana banjir yang teruk sehingga mengakibatkan kerugian harta benda kepada penduduk setempat.

“Kawasan penempatan Alai ini terutamanya di sekitar Crystal Bay sememangnya sangat tidak sesuai untuk dijadikan pelabuhan laut dalam kerana ia adalah kawasan perumahan.

“Masalah lain adalah banjir kilat yang kerap berlaku di sini mengakibatkan penduduk tidak sanggup lagi kerugian ribuan ringgit saban tahun akibat kerosakan harta benda,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang mengetuai penyerahan surat bantahan itu berkata, beliau akan meminta kerajaan negeri mengkaji secara terperinci cadangan projek tebus guna pantai itu.

Beliau bercadang akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri berhubung projek terbabit untuk mencapai situasi menang-menang antara penduduk dan pemaju.

“Saya menyeru kepada kerajaan negeri agar menangguhkan dahulu perancangan pembangunan agar kajian lebih terperinci dapat dilakukan bagi mencari formula terbaik untuk pembangunan Melaka,” ujarnya.

Tambahnya, dalam surat bantahan itu, beliau mengemukakan 16 sebab bantahan termasuk empat fokus utama berkaitan isu alam sekitar, keperluan pelabuhan baharu, dua terminal pelayaran berhampiran dan impak terhadap aliran trafik di Melaka.

Jelasnya, projek tambakan seluas 889 padang bola sepak itu dibimbangi akan menjejaskan 230,000 penduduk berhampiran bermula dari Perkampungan Portugis, Ujong Pasir, Alai dan Serkam.

“Sekurang-kurangnya 15 perkampungan nelayan akan terkesan dengan projek itu selain menjejaskan pendapatan 500 nelayan selain merosakkan ekosistem Pulau Besar yang akan diwartakan sebagai Taman Laut Negara,” katanya. – MalaysiaGazette.