Azmi Abu Kassim

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menerima sebanyak 444,120 laporan melibatkan pelbagai aduan sepanjang tahun lalu, meningkat sebanyak 71,577 berbanding 374,588 pada tahun 2021.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan dan Trafik (JSPT) merekodkan jumlah laporan tertinggi sebanyak 119,383 diikuti Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik(JSN) (27,137), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (22,101) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) (10,623).

Daripada keseluruhan kes, sebanyak 179,244 kertas siasatan dibuka.

“Secara puratanya setiap balai polis di Kontinjen Kuala Lumpur menerima sekurang-kurangnya 50 aduan dalam sehari.

“Saya rumuskan angka ini walaupun naik, ianya menunjukkan peningkatan dalam keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan polis, yang mana mereka lebih selesa dan tidak berasa sebarang gundah untuk membuat laporan.

“Namun begitu, polis Kuala Lumpur memandang serius akan peningkatan jumlah laporan yang diterima dan telah mempergiat tindakan pencegahan sepanjang tahun 2022,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut Azmi, kadar pertuduhan yang dicapai oleh empat jabatan tersebut merekodkan JSPT sebanyak 58,488 dengan kadar peratusan 98.81% diikuti  JSJN (9,830; 89.50%), JSJ (8,257; 68.82%) dan JSJK (3,046; 71.99%).

Antara tindakan-tindakan yang diambil ialah mengadakan pelbagai operasi melibatkan semua jabatan dan daerah, meningkatkan kualiti penyiasatan sehingga memperoleh kadar pertuduhan atau pendakwaan yang tinggi di mahkamah dan mengeluarkan saman ke atas kesalahan lalu lintas.

Tambah Azmi, Polis Kuala Lumpur komited mengambil tindakan-tindakan pencegahan yang melibatkan elemen mendidik masyarakat tentang kesedaran jenayah.

“Polis Kuala Lumpur turut mengenal pasti beberapa faktor yang menyumbang kepada jenayah disebabkan oleh kecuaian dan kelalaian masyarakat sendiri.

Ia termasuk  tidak mengunci rumah apabila meninggalkan rumah, meninggalkan kunci kenderaan pada kenderaan serta meninggalkan barang berharga di dalam kenderaan.

Selain itu, tidak melaporkan kepada balai polis berdekatan apabila meninggalkan rumah untuk tempoh masa yang lama serta mendedahkan maklumat peribadi dan perbankan kepada individu yang tidak dikenali.

“Faktor lain termasuk membeli barang secara atas talian dan tidak membuat semakan akaun pembayaran terlebih dahulu melalui https://semakmule.rmp.gov.my/ dan tidak membuat pengesahan secara verbal dengan rakan apabila menerima mesej pinjaman wang,” jelasnya.

Azmi berkata, Polis Kuala Lumpur akan terus menasihati dan mengajak warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya agar tidak menjadi mangsa jenayah dan lebih peka terhadap trend jenayah terkini.

Justeru, Polis Kuala Lumpur mensasarkan tindakan lebih bersepadu dan holistik di dalam membawa penjenayah ke muka pengadilan dan menjadikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebuah bandaraya yang selamat didiami. – MalaysiaGazette