KUALA LUMPUR – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) perlu sentiasa berada di hadapan dan menjadi jurubicara dalam memerangi Islamofobia, mengekang radikal Islam dan membawa pencerahan berkenaan soal agama Islam.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata,selain itu USIM juga berperanan untuk memimpin universiti-universiti yang serupa di peringkat serantau mahupun global serta mewujudkan rangkaian dalam akademik, penyelidikan dan penglibatan masyarakat.

“Saya percaya bahawa USIM mempunyai kekuatan tersendiri dalam sektor halal, pusat rujukan dan dakwah Orang Kurang Upaya (OKU) serta perbankan Islam. Kekuatan ini perlu diketengahkan dalam membangunkan reputasi dan memastikan keterlihatannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Khaled mengadakan lawatan kerja ke USIM semalam.

Ia merupakan lawatan kerja ke Universiti Awam keempat beliau selepas Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurut Mohamed Khaled, beliau meletakkan harapan yang tinggi kepada USIM dalam membangunkan reputasi dan memastikan keterlihatannya, khususnya dalam soal agama Islam selaras dengan bidang tujahannya sebagai sebuah universiti yang
mengintegrasikan ilmu naqli dan aqli.

Katanya, kejayaan USIM akan memberikan sumbangan besar bukan sahaja kepada pendidikan tinggi negara, tetapi kepada ummah secara keseluruhannya. – Malaysiagazette

1 Komen

  1. kembalikan amalan tarikat dan tasauf dalam islam yang telah hilang . tanpa pelajaran ini islam tidak akan murni sebagaimana zaman nabi dan sahabatnya .

Comments are closed.