Nancy Shukri

PUTRAJAYA – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berpendirian adalah tidak munasabah melarang wanita berseluar pendek memasuki balai polis seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menyuarakan pendapatnya secara umum, Nancy yakin wanita berkenaan mempunyai tujuan tertentu dan memerlukan bantuan daripada pihak berkuasa.

Sehubungan itu beliau menyifatkan, wanita tersebut tidak mempunyai pilihan datang ke balai polis dengan berseluar pendek pada waktu kecemasan.

“Secara umumnya kita tidak harus mendiskriminasi sesiapa, mesti ada sebab orang itu ke situ, tidak kira macam mana pakaiannya. Contoh kalau ada kemalangan orang awam  perlu buat laporan dalam tempoh 24 jam kan.

“Jadi pihak bertanggungjawab itu tidak boleh tolak (halang) wanita itu kalau tidak ada alasan lain. Dia memerlukan bantuan kepada pihak berkuasa. Tidak munasabah dia dilarang masuk kerana pakaiannya,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Matahari (Meningkatkan Daya Tahan dan Psikologi Wanita) dan Iris (Literasi Perundangan dan Hak Wanita), di sini, hari ini.

Terdahulu dilaporkan, seorang wanita tempatan berang selepas dihalang memasuki Ibu Pejabar Polis Daerah (IPD) Kajang kerana memakai seluar pendek di atas paras lutut.

Wanita berkenaan hadir ke IPD tersebut untuk membuat laporan berhubung satu kemalangan jalan raya.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan menjelaskan bahawa anggota sentri mendapati wanita berkenaan memakai seluar pendek dan telah menasihatinya supaya menukar seluar yang lebih sesuai selaras dengan etika pemakaian di premis kerajaan.

Namun, wanita terbabit enggan mendengar arahan anggota bertugas dan dilaporkan  membuat provokasi terhadap anggota berkenaan. – MalaysiaGazette