Foto MUHD NA’IM 31 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memohon agar kerajaan mempertimbangkan penambahan 1,501 jawatan kontrak di seluruh negara bagi melengkapkan keperluan penugasan agensi berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed berkata, ketika ini, APM mempunyai kekuatan kira-kira 10,500 anggota termasuk sukarelawan.

Beliau berkata, penambahan itu perlu dibuat kerana rakyat Malaysia memiliki pengetahuan yang luas dan berjiwa besar untuk menjadi anggota APM.

“APM memiliki seksyen yang membenarkan bantuan pegawai-pegawai APM seperti pegawai kehormat, bersekutu dan sukarelawan membantu operasi menyelamat,” katanya kepada Bernama pada Majlis Perpaduan Sambutan Tahun Baharu Cina Dekad Platinum APM 2023 di Ibu Pejabat APM Kuala Lumpur di sini, malam ini.

Sementara itu, beliau berkata, APM telah menyerahkan laporan penuh penugasan pegawai dan anggota dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Disember tahun lepas.

Aminurrahim berkata, laporan berkenaan merangkumi nisbah atur gerak komponen APM sewaktu insiden itu untuk semakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, ketika insiden tanah runtuh itu, APM mengatur gerak anggota penyelamat mengikut nisbah keanggotaan yang terkandung dalam Dokumen Dekad Platinum Pertahanan Awam (DPPA) 2022-2032.

Menurutnya, nisbah itu melibatkan seorang pegawai tetap, dua pegawai bersekutu dan 60 komuniti.

“Semakan itu akan menentukan kos pengoperasian yang dapat dijimatkan kerajaan berbanding mengerahkan pegawai dan anggota berjawatan tetap,” katanya.

DPPA 2022-2032 yang dilancarkan pada 12 Okt tahun lepas, mampu memacu hala tuju APM dalam tempoh 10 tahun akan datang. DPPA diperkenalkan bertujuan memperkukuh lagi perkhidmatan APM.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi, 16 Dis di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya itu menyaksikan 31 nyawa terkorban dan 61 selamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan terbabit dalam kejadian itu. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast