PUTRAJAYA – Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) bagi fasa dua (MRT2) bagi laluan dari Putrajaya Central ke Kwasa Damansara akan mula beroperasi pada pertengahan Mac ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, jarak perjalanan sepanjang kira-kira 50 kilometer diharapkan dapat menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.
“Pelbagai inisiatif akan dilaksanakan bermula dengan MRT2 yang akan beroperasi tidak lama lagi pada pertengahan Mac 2023.
“Laluan MRT2 akan memulakan operasinya dari Putrajaya Central sampai ke Kwasa Damansara,” katanya berucap pada Majlis Tautan Mesra di Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, MOT akan terus menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam dalam usaha untuk menjimatkan penggunaan petrol dan bahan api lain.
“Ia amat selari dengan hasrat kita dalam MOT apabila kita bercakap soal mampan, kita perlu mengurangkan penggunaan minyak atau bahan bakar dan perlu guna tenaga mesra alam sekitar.
“Antara strategi yang perlu kita guna pakai ialah untuk menggalakkan lebih ramai rakyat kita menggunakan pengangkutan awam,” katanya.
Katanya, bagi tujuan itu, pihaknya akan menggerakkan semua agensi dan jabatan kerajaan untuk menjayakan galakan menggunakan pengangkutan awam itu.
“JPJ, JPAD, operator kita, Prasarana, KTMB, MRL dan sebagainya yang akan melaksanakan dan merangka dasar supaya kita menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
“Mereka juga akan memastikan operasi pengangkutan awam kita berada pada tahap paling optimum dan dapat memberikan keselesaan kepada rakyat negara kita untuk menggunakan pengangkutan awam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette