Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR  – Jabatan Penjara Malaysia sedang melaksanakan reformasi yang antaranya bertujuan untuk mengurangkan kesesakan para penghuninya termasuklah Penjara Sungai Buloh.

Jabatan Penjara menjelaskan antara usaha yang dilakukan ialah dengan pemasangan katil bertingkat untuk kegunaan banduan di sel dan dormitori penjara.

“Jabatan Penjara juga sedang bekerjasama dengan mahkamah bagi mempercepatkan lagi perbicaraan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu,  Penjara Malaysia juga memfokuskan lagi program pemulihan dalam komuniti yang ketika ini melibatkan seramai 82,487 banduan dan dengan kadar residivis hanya 0.24 peratus.

Tambahnya, program pemulihan dalam komuniti tersebut turut melibatkan sejumlah banduan sabitan yang ditempatkan di Penjara Sungai Buloh dengan menggunakan bekas tapak Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai Pusat Reintegrasi Penghuni dan Penjara Satelit.

Malah Jabatan Penjara juga sedang mengkaji penggunaan peranti pemantauan elektronik (EMD) kepada banduan reman berisiko rendah bagi mengelak mereka ditahan di penjara.

“Melalui langkah yang telah diambil masalah kesesakan yang dialami oleh Penjara Sungai Buloh telah dapat dikurangkan.

“Peratus lebihan jumlah banduan pada ketika ini adalah 36 peratus berbanding kapasiti maksimum 4, 200 banduan iaitu tambahan 20 peratus daripada kapasiti sedia ada yang mana kadar ini berdasarkan ketetapan antarabangsa.

“Langkah mengurangkan kesesakan tersebut akan diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi yang akan turut memberi tumpuan kepada pengurangan jumlah banduan reman,’ tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast