ACP Mohd Zaid Hassan

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menahan seorang penunggang motosikal yang dipercayai tokan dadah di Balakong dekat sini baru-baru ini.

Suspek lelaki warga tempatan itu telah diberkas di Jalan Dataran C180, Bandar Tun Hussien Onn pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, lelaki berusia 32 tahun itu yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR itu telah ditahan kira-kira pukul 7 malam selepas dikesan dalam keadaan agak mencurigakan.

Pemeriksaan lanjut ke atas suspek dan motosikal menemui sebanyak 31 peket plastik lut sinar disyaki berisi dadah jenis methaphetamine iaitu syabu dan 50 peket berisi dadah jenis heroin.

“Rampasan syabu dan heroin itu adalah dianggarkan bernilai RM2,740 dan disyaki untuk pengedaran sekitar daerah Kajang.

“Siasatan lanjut polis mendapati suspek dipercayai berperanan sebagai tokan dadah dan aktif dalam kegiatan terlarang itu semenjak enam bulan yang lalu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mohd Zaid, hasil semakan lanjut polis juga mendapati suspek memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Suspek kini direman selama enam hari sehingga 6 Februari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Polis menagih kerjasama orang ramai khususnya dalam daerah Kajang bagi menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dadah atau jenayah dengan menghubungi pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222. – MalaysiaGazette