Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh akur dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengurangkan peruntukan pembangunan kepada ahli Parlimen pada tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, beliau masih belum diberi taklimat secara terperinci mengenai pengurangan berkenaan yang dijangka diumumkan pada pembentangan Bajet 2023 nanti.

Bagaimanapun beliau menerima keputusan Kabinet dan menerima berhubung perkara berkenaan.

“Belum ada taklimat mengenai penggunaan peruntukan ini, tapi saya rasa kita akan ikut nasihat Kabinet.

“Kalau itu yang diperuntukkan, kita akan tunggu penerimaan. Kita tunggu dulu untuk sidang Bajet 2023 yang akan bermula tak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di program ‘Hiking’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Komuniti Peringkat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Taman Persekutuan Bukit Kiara di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Semalam, Perdana Menteri memaklumkan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen akan dikurangkan tahun ini sebagai langkah mengawal perbelanjaan negara.

Menurut Perdana Menteri, peruntukan itu akan diselaraskan dengan pejabat daerah dan pegawai kemajuan negeri dan disalurkan secara berperingkat mengikut keperluan.

Bagaimanapun, kerajaan sedia mempertimbangkan untuk memberi peruntukan pembangunan tambahan kepada ahli Parlimen bagi projek mendesak seperti memperbaiki infrastruktur surau, jalan raya dan sungai yang mengalami kerosakan.

Peruntukan kawasan untuk ahli Parlimen penyokong kerajaan tahun ini dikurangkan lebih 65 peratus iaitu daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen pembangkang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan itu kerana ia boleh menjejaskan perancangan pembangunan dan kemajuan rakyat serta kawasan terbabit. – MalaysiaGazette

Kerajaan kurangkan elaun pembangunan Ahli Parlimen – PM