KUALA LUMPUR – Jelajah Agrotourism dan Agroyouth, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) Siri Ke-2 yang bermula di Selangor menawarkan perkongsian maklumat berkaitan inisiatif dan bantuan yang ditawarkan oleh kementerian terutamanya kepada golongan petani, penternak, nelayan mahupun usahawan dalam bidang agromakanan.

Pengunjung berpeluang mengemukakan sebarang pandangan atau pertanyaan kepada pegawai-pegawai MAFS secara bersemuka bagi membolehkan penilaian dan tindakan lanjut dapat diselaraskan.

Jelajah ini bermula semalam sehingga esok.

MAFS berkata, Program Agropelancongan dan Agropreneur Muda ini merupakan elemen utama penganjuran jelajah ini bagi memperkukuh sektor pertanian negara menerusi penglibatan aktif belia dan kepelbagaian sumber pendapatan berasaskan pertanian.

Program turun padang ini merupakan kesinambungan dari kejayaan siri pertama pada 2 hingga 4 Disember 2022 di Pasir Gudang, Johor.

Menurutnya, program ini selaras dengan harapan menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu agar penglibatan belia dalam bidang pertanian yang menjadi salah satu daripada lima fokus utama MAFS sebagai pemangkin kepada kesinambungan sektor pertanian negara.

Pelbagai program disusun sepanjang jelajah ini antaranya penawaran pakej-pakej pelancongan berasaskan pertanian, pemadanan perniagaan, jualan, kursus
keusahawanan dan perkongsian kisah kejayaan.

Turut diadakan jualan pasar pilihan rakyat iaitu My Best Buy (MBB) yang merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Untuk rekod, sehingga 2022, sebanyak 146 Pusat Agropelancongan yang berdaftar di bawah bimbingan Jabatan dan Agensi MAFS telah diberikan bantuan Geran Agropelancongan dengan nilai RM22.13 juta.

Manakala statistik kunjungan pelawat ke pusat-pusat agropelancongan daripada tahun 2019 hingga 2021 ialah seramai 4.4 juta orang dengan hasil pendapatan berjumlah RM81.4 juta.

Bagi bantuan Geran Agropreneur Muda (GAM) untuk individu berumur 18 hingga 40 tahun, seramai 8,403 orang agropreneur muda di seluruh negara telah mendapat manfaat dari 2016 hingga 2022 dengan nilai kelulusan berjumlah RM151.75 juta. – MalaysiaGazett

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast