KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyeru pemimpin-pemimpin UMNO di negeri itu agar kembali bersatu.
“Saya menyeru agar semua pemimpin UMNO Johor bertaut kembali dan bermuafakat demi kelangsungan parti keramat orang Melayu ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Beliau mengulas mengenai Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Johor yang pertama kali dipengerusikannya, hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor bagi menggantikan Datuk Hasni Mohammad mulai 28 Januari lalu.
Mengenai mesyuarat pertama yang diadakan tahun ini, beliau memberitahu, pelbagai perkara yang dibincangkan termasuklah perancangan dan hala tuju bagi memulih, merawat dan memantapkan semula kekuatan UMNO Johor.
“Turut menyentuh tentang pemilihan UMNO yang akan berlaku di semua peringkat dan UMNO Johor akan pastikan ia berlangsung dalam keadaan lancar dan tenteram,” jelasnya. – MalaysiaGazette