data peribadi
Fahmi Fadzil (paling kiri) dan Josephine Teo (paking kanan) dalam mesyuarat di Kuala Lumpur, hari ini. (Gambar: Facebook)

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Singapura telah memperbaharui kerjasama dalam bidang perlindungan data peribadi, keselamatan siber dan ekonomi digital melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) pada 30 Januari lalu di republik berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, MoU tersebut menyediakan platform kepada agensi di kedua-dua negara untuk memulakan kerjasama yang lebih mendalam dalam bidang perlindungan data peribadi, keselamatan siber dan ekonomi digital.

“Antara kerjasama yang dirangka adalah perkongsian maklumat dan kepakaran serta amalan terbaik antara Malaysia dan Singapura dalam menangani isu penipuan dalam talian secara lebih berkesan dan mengoptimumkan penggunaan data sebagai sumber komoditi yang berharga dalam pertumbuhan ekonomi digital negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas mengenai mesyaurat dua hala dengan Menteri Perhubungan dan Penerangan Singapura, Josephine Teo di sini hari ini bagi membincangkan dengan lebih mendalam hala tuju kerjasama kedua-dua negara dalam bidang perlindungan data peribadi, keselamatan siber dan ekonomi digital serta bidang komunikasi.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia, Vanu Gopala Menon; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Seri Mohammad Mentek; Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan dan Penerangan Singapura, Joseph Leong; Pengerusi Interim Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Ts. Mahadhir Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM), Datuk Ts. Dr. Amirudin Abdul Wahab.

Fahmi turut mengalu-alukan kesudian Josephine serta delegasinya menghadiri konsert Muzika Ekstravaganza yang dihoskan oleh Malaysia malam ini.

Menurut beliau, konsert anjuran bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan MediaCorp Suria Singapura ini merupakan konsert kali ke-14 yang bermatlamat untuk menaikkan taraf industri muzik kedua-dua negara menerusi pertukaran kepakaran dan pengalaman serta penggunaan teknologi, selain memberi pendedahan kepada budaya kerja antara kedua-dua stesen penyiar. – MalaysiaGazette