Pas PRN
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas wajib memanfaatkan enam pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan tahun ini sebagai gerak latih politik untuk menambah jumlah kemenangan dan kekuatan parti.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perjuangan parti itu belum selesai.

“Kita wajib mempertahankan pencapaian ini dengan nilai tambah mengisi kemenangan yang ada dan mencari dukungan yang lain untuk bersama kita dari segi bilangan kerusi yang mencukupi.

“Kita telah berjaya mendapat sokongan jentera kerajaan berserta generasi baharu dan lama yang berfaedah, tetapi dicelarukan oleh konsep politik dan madani di luar tabii,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pas yang merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN) bakal mempertahankan penguasaannya di Kelantan, Terengganu dan Kedah serta mencabar Pakatan Harapan (PH) di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pada PRN yang dijangka berlangsung pertengahan tahun ini.

Keputusan Pilihan Raya Umum KE-15 (PRU-15) menyaksikan Pas dan PN menguasai 13 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah serta menyapu bersih kesemua 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan kerusi Parlimen di Terengganu.

Berdasarkan keputusan tersebut, Pas dan PN dijangka mengekalkan momentum kemenangan untuk kembali membentuk kerajaan negeri selepas PRN di tiga negeri berkenaan.

Bagaimanapun, PN bakal berdepan kesukaran untuk menewaskan PH di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, lebih-lebih lagi jika ura-ura pakatan pilihan raya dengan Barisan Nasional (BN) menjadi kenyataan.

Ketika ini PN menguasai tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, lima kerusi di Pulau Pinang dan tiada kerusi di Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.