Ruslina Hasim menemani anaknya membuat aktiviti di Petrosains dalam Perpustakaan Awam Sultan Haji Ahmad Shah (PASAS) di Kuantan

KUANTAN – Hampir 2,000 pengunjung memeriahkan Perpustakaan Awam Sultan Haji Ahmad Shah (PASAS) di Kemunting, di sini pada saban minggu.

Kehadiran pengunjung di banggunan tiga tingkat di tengah-tengah bandar raya Kuantan menjadi tumpuan ibu bapa dan anak-anak sejak operasinya bermula pada 2018.

PASAS seringkali jadi lokasi lawatan sambil belajar para pelajar khususnya dari luar daerah Kuantan.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kebanyakan sekolah dari luar daerah ini seperti Kuala Lipis, temerloh, Rompin mengambil peluang untuk menggunakan kemudahan perpusatakaan bercirikan ‘edutainment’ itu.

Nurul Akma Abdullah, guru pengiring, dari SK Mentakab Jaya, Temerloh berasa bangga dapat memenuhi hasrat para pelajarnya untuk berkunjung ke perpustakaan yang menyediakan lebih 100,000 koleksi bahan bacaan ini.

Bangunan PASAS setinggi tiga tingkat mempunyai reka bentuk moden dan diselitkan motif tenun pada struktur bangunan itu melambangkan identiti Perpustakaan Awam Negeri Pahang

“Hari ini rombongan sekolah kami seramai 80 pelajar, berusia 11 dan 12 tahun datang dari jauh buat lawatan sambil belajar dan mereka teringin untuk melawat perpustakaan awam negeri ini, memang pelajar teruja.

“Murid-murid seronok dapat berkunjung ke Petrosains dalam perpustakaan dan mecuba pelbagai aktiviti yang disediakan.

“Sebelum ini lawatan ke Muzium Sungai Lembing, dan terus datang ke perpustakaan. Bukan kami sahaja, pelajar sekolah lain pun rebut peluang datang ke sini,” katanya.

Manakala bagi Ruslina Hasim, 41, berpendapat, pusat aktiviti kanak-kanak seperti PASAS wajar diperluaskan di daearah lain.

Beliau menyertai rombongan sambil belajar dari Rompin bersama anaknya, Raisha Safia Muhamad Hafiz, 6, berkata, Petrosains yang disediakan memberikan pendedahan kepada kanak-kanak menerokai sains dan teknologi.

“Budak-budak memang suka tengok, ada banyak permainan dan aktiviti sekali gus dapat memberi pendedahan kepada pengunjung termasuk ibu bapa untuk menghayati konsep sains di sini.

“Kemudahan yang disediakan seperti surau, kafeteriam surau pun selesa dan banyak kategori bahan bacaan di sini untuk kegunaan peminjam,” katanya.

Lebih 100,000 koleksi bahan bacaan disediakan kepada pengunjung di PASAS

Selain menyediakan ruang Petrosains kepada pengunjung, PASAS turut menyediakan ruang Pusat Warisan Intelek Negeri, koleksi pinjaman umum serta bahagian rujukan dan maklumat, termasuk Koleksi Diraja.

Perpusatakaan Awam Negeri Pahang ini beroperasi setiap Selasa hingga Sabtu bemula jam 9 pagi hingga 5 petang juga menyediakan pinjaman buku menggunakan mesin pintar kepada ahli yang berdaftar.

Peminjam juga hanya perlu memulangkan buku menerusi ruang gelongsor buku yang boleh diakses pada bila-bila masa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast