Nurul Izzah Anwar

IPOH – Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta semua pihak berlapang dada dan memberi peluang kepada bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar membuktikan kemampuannya dalam memikul tanggungjawab sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

Beliau berkata meskipun tanggungjawab itu bukan satu tugas mudah, pengalaman yang ada pada Nurul Izzah mampu memberi nilai tambah dalam menyumbang kepada penyelesaian pelbagai masalah membabitkan rakyat.

“Selain lantikan (Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan) yang dibuat oleh Perdana Menteri, Nurul Izzah juga mempunyai dua ijazah dan pernah menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Tentunya saya fikir kita boleh meletakkan keyakinan kepada beliau (Nurul Izzah) untuk menyelesaikan segala masalah membabitkan hal ekonomi, kewangan, kos sara hidup yang melingkari rakyat buat masa ini,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Kenduri Kesyukuran Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tambun di Dewan Orang Ramai Sungai Tapah, di sini hari ini.

Pada 29 Jan lepas, Nurul Izzah mendedahkan beliau telah dilantik menyandang jawatan berkenaan berkuat kuasa 3 Jan dan matlamat utamanya adalah untuk memperbaiki keadaan ekonomi rakyat selain isu kemiskinan, pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) di negara ini.- BERNAMA

1 Komen

  1. Angkat kembali DSNR tetapi menasihati kerajaan tentang ekonomi dan kewangan. Baru negara boleh pulih.

Comments are closed.